Kegemilangan dan Kemerosotan Bahasa Hokkien:
Bagaimana Nasionalisme Hàn Mengubah Identiti
dan Mengancam Kelestarian Sebuah Bahasa
Kebangkitan Mandarin daripada sebuah bahasa yang hampir tidak mempunyai penutur di Malaysia dan tempat lain di Asia Timur satu abad yang lalu, kepada sebuah bahasa yang kini menenggelamkan bahasa-bahasa Cina lain, tidak dapat dinafikan mempunyai hubung kait dengan tindakan sekolah-sekolah menukar medium pengajaran mereka daripada bahasa-bahasa Cina selatan kepada Mandarin. Perkara yang sama juga dapat dilihat dalam kebangkitan bahasa Inggeris di Singapura selepas sekolah-sekolah bukan Inggeris dimansuhkan di pulau itu.
Pameran ini menumpukan perhatian kepada perbincangan mengenai ideologi, dan bukannya menjadikan individu sebagai sasaran. Tokoh-tokoh sejarah yang disebut hanyalah dirujuk sebagai rujukan untuk membantu menjelaskan idea yang ingin disampaikan.
Pameran ini bertujuan untuk membantu golongan pendidik, penggubal dasar dan orang awam untuk menilai kembali sikap dan tanggapan mereka. Kandungan pameran juga dipersembahkan untuk mencabar naratif arus perdana yang menyalahkan ibu bapa kerana tidak bertutur dalam bahasa ibunda dengan anak-anak mereka, di samping mencabar idea bahawa kepupusan bahasa merupakan satu perkara yang lumrah.
Pada umumnya, sebahagian besar masyarakat tidak ambil kisah bahawa pendidikan, terutama bahasa pengajaran di sekolah, mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap kelakuan linguistik generasi muda. Ibu bapa yang menukar bahasa keluarga mereka sebenarnya tunduk kepada tekanan sistem pendidikan dalam mempersiapkan anak-anak mereka untuk persekolahan. Maka, sistem pendidikanlah sebenarnya penggerak utama dalam perubahan bahasa pada skala besar dalam masyarakat kita. Jika ibu bapa dipersalahkan kerana tidak mewariskan bahasa ibunda mereka di rumah, maka penggubal-penggubal dasar dan golongan pendidik juga perlu bertanggungjawab kerana tidak memberikan ibu bapa pilihan lain dalam pendidikan anak-anak mereka.
Pelawat akan mendapati pameran ini sarat dengan fakta, statistik, dan peristiwa bersejarah yang jarang diberikan perhatian sebelum ini. Penghayatan sejarah ini akan membantu kita memahami asal usul idea dan kepercayaan-kepercayaan kita. Seterusnya, barulah kita akan cukup bersedia untuk memperbetulkan semula sistem yang kini memusnahkan bahasa-bahasa kita.





